Wednesday, 15 October 2014

PERANAN USAHAWAN DALAM MASYARAKAT



Peranan Usahawan dalam Masyarakat


Usahawan merupakan peneraju utama negara. Usahawan merupakan individu yang sangat mementingkan keperluan masyarakat. Mereka akan mencari idea-idea dan peluang untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkmualiti tinggi dan memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Peranan usahawan dalam masyarakat mempunyai dua aspek iaitu aspek mikro dan makro.Peranan usahawan dari aspek mikro ialah pertama, menyumbang idea dan melakukan pembaharuan.. Sumbangan usahawan dalam aspek ini ialah mereka dianggap sebagai sumber atau pencetus idea baru dalam pra-penubuhan, semasa dan selepas penubuhan firma. Idea yang dijana tidak semestinya asli, namun dapat menggalakkan penghasilan produk atau perkhidmatan yang baru. Penghasilan produk atau perkhidmatan baru ini dapat menambahkan nilai barangan atau perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh, telefon bimbit berjenama Nokia hanya boleh membuat panggilan pada tahun 80-an. Apabila penyelidikan dan pembaharuan berlaku, telefon bimbit mempunyai fungsi yang berbagai seperti perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), mendengar lagu, mengambil gambar dan sebagainya. Dengan ini, telefon bimbit mempunyai kegunaan baru dan bertambah nilai. Oleh hal yang demikian, sumbangan usahawan dalam menjana idea baru adalah sangat penting.


Aspek seterusnya ialah usahawan tersebut perlu bijak dalam merancang sesuatu. Usahawan perlu melihatkan masalah yang wujud sebagai peluang idea perniagaan juga mempunyai sumbangan. Dengan wujudnya peluang dan idea baru, usahawan akan melaksanakan perancangan. Perancangan mengenai struktur perniagaan, penyelidikan dan penghasilan produk atau perkhidmatan baru akan dijalankan. Misalnya, apabila berlaku jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan sistem pernafasan, usahawan akan menyelidik dan menghasilkan topeng mulut bagi masyarakat. Dengan ini, topeng mulut merupakan produk baru hasil daripada masalah yang wujud di persekitaran selaras dengan perancangan yang teliti sebelum penghasilan produk baru. Oleh hal yang demikian, sumbangan usahawan mewujudkan peluang perniagaan baru dari sudut mikro tidak boleh dinafikan.




Seterusnya sumbangan usahawan juga terdapat dalam bidang yang lebih luas iaitu dalam aspek makro. Usahawan telah memberikan sumbangan yang amat besar dan penting kepada masyarakat dan negara kita. Antara sumbangan usahawan ialah mewujudkan peluang pekerjaan. Usahawan biasanya terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, perkhidmatan, perindustrian dan sebagainya. Dengan ini, banyak peluang pekerjaan disediakan untuk masyarakat tempatan. Sebagai contoh, penubuhan HICOM dan syarikat penerbangan Air Asia telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan. Kewujudan peluang pekerjaan yang banyak dan mencukupi akan mengurangkan masalah pengangguran. Mengikut statistik, kadar pengangguran telah menurun dari 3.6% pada tahun 2000 kepada 3.4% pada tahun 2005. Secara tidak langsung juga, masalah sosial juga dapat dibanteras kerana mereka mempunyai pekerjaan dan kurang melakukan kegiatan yang tidak sihat.




Sumbangan usahawan dari sudut makro yang lain ialah memenuhi keperluan dan menambahkan pilihan barangan dalam pasaran. Masyarakat kita mempunyai keperluan dan kehendak yang perlu dipenuhi. Usahawan akan menghasilkan produk atau perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Usahawan telah menghasilkan pelbagai jenis barang keperluan asas seperti makanan, rumah, pakaian dan sebagainya dengan banyak variasi. Masyarakat akan mempunyai lebih banyak pilihan terhadap barangan asas. Barang mewah yang berteknologi tinggi dan berinovasi seperti kereta, komputer, televisyen dan kamera turut dihasilkan oleh usahawan yang kreatif. Oleh itu, usahawan dapat memenuhi keperluan dan juga memberi kepuasan yang maksimum kepada masyarakat.


Kesimpulannya, bidang keusahawanan ini sangat penting dalam masyarakat kita. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran tentang betapa pentingnya bidang keusahawanan.


No comments:

Post a Comment